Perbincangan berkaitan status makanan halal Hukum_pemakanan_Islam

Hukum memakan haiwan dua alam (reptilia dan amfibia) dan seumpamanya

Tidak terdapat sebarang dalil yang khusus mengatakan binatang dua alam itu haram dimakan. Persoalannya, bagaimana pula hukum ini boleh keluar apatah lagi ia merupakan qaul yang masyhur dalam Mazhab Syafi’e sepertimana dinukilkan oleh kitab-kitab An-Nawawi; Imam Rafi’ie dan Al-Ghazali. Pendapat ini juga dipegang oleh Mazhab Hanbali.

Mereka yang mengatakan binatang dua alam ini haram di makan berdasarkan hadis berikut:

Dari Abdur Rahman ibnu Uthman menerangkan,

“Dihadapan Rasulullah seorang tabib memperagakan semacam ubat dan dia menyebutkan tentang hal katak yang dimasukkan ke dalam ubat itu. Rasulullah S.A.W. melarang kita membunuh katak itu.”
—Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’i

Hukum ke atas katak ini, kemudian diqiaskan kepada yang hidup sepertimana katak.

Sabdanya lagi,

“Airnya(iaitu laut), menyucikan dan halal bangkainya.”

Hadith di atas merujuk kepada hidupan laut. Adapun binatang dua alam ini tidak termasuk dalam keterangan di atas kerana mereka juga hidup di darat. Maka berdasarkan firman Allah di bawah, mereka membuat kesimpulan bahawa haiwan dua alam itu haram dimakan.

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,…”
5:3

Di samping itu terdapat juga beberapa hadith yang menjelaskan ayat di atas iaitu:

Muhammad bersabda,

“Dihalalkan untuk kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah; ikan dan belalang, hati dan limpa.”

Ulama’ mengqiaskan ikan itu kepada segala jenis hidupan laut yang hanya tinggal di dalam laut/air. Oleh itu, binatang 2 alam tidak termasuk.

Walaupun begitu, perlu diketahui bahawa dalam Islam, asal setiap sesuatu ciptaan Allah adalah harus. Ia tidak diharamkan melainkan jika ada nas yang sahih lagi sharih (jelas/tegas) dari syari’e yang mengharamkannya. Jika di sana tidak ada nas yang sahih – seperti ada nas tetapi dengan hadith dha’if – atau nas berkenaan sahih tetapi tidak sharih dalam menunjukkan keharamannya, maka hal ini akan kekal atas sifat asalnya sebagai hal yang diharuskan.

Daripada Abi Darda’, Muhammad bersabda,

“Apa yang Allah halalkan di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Dan, apa yang Allah haramkan, maka ia adalah haram. Manakala apa yang didiamkan olehNya, maka ia adalah dimaafkan. Oleh itu, terimalah kemaafan dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan lupa sedikitpun.” Kemudian Rasulullah membaca ayat: “Dan Tuhanmu tidak pelupa.” - (19:64)
—Hadis Riwayat Al-Hakim, dan dia mensahihkannya dan dikeluarkan oleh al-Bazzar, dia berkata: Sanad yang baik

Maka, berdasarkan dalil yang dipakai oleh mereka yang mengatakan binatang dua alam itu haram, kita dapati tidak terdapat satupun yang khusus menunjukkan ke arah keharamannya. Dalil yang paling hampir ialah mengenai katak. Tetap berdasarkan kaedah yang telah diutarakan, jika menerima hadith ini menunjukkan keharaman, keharaman itu hanyalah ditujukan kepada katak. Mengqiaskannya kepada semua yang hidup dua alam itu tidak tepat.

Pendapat yang kuat ialah secara umumnya, binatang dua alam itu halal. Dia didiamkan syara’. Hanya saja kita perlu ingat, bahawa Islam juga ada menggariskan satu lagi kaedah dalam mengenalpasti halal atau haramnya sesuatu binatang itu, iaitu berdasarkan kepada firman Allah S.W.T.:

“Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang bagi kamu.”
“Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang telah diwahyukan kepadaku soal makanan yang diharamkan untuk dimakan, melainkan bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi; kerana sesungguhnya ia kotor (rijs), atau binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun dan Maha Pengasih.”

Dari ayat di atas, illat (sebab) kepada keharaman bangkai, darah yang mengalir, babi adalah kotor. Berdasarkan illat ini, kita boleh mengqiaskannya kepada apa-apa binatang yang mempunyai illat yang sama dengannya iaitu kotor. Sebagai contoh, sekiranya kita melihat sesuatu binatang itu sememangnya kotor dari segi gaya hidup dan seumpamanya, maka ia menjadi haram. Walaupun begitu, perlu diingat, kadang-kadang uruf (kebiasaan) dari satu tempat ke satu yang lain itu berlainan. Mungkin pada masyarakat negara Malaysia, binatang itu menjijikkan, tetapi pada masyarakat berbangsa China tidak pula.

Maka, setiap apa yang dinyatakan dalam nas yang mengatakan ia haram, itulah haram. Yang tidak dikatakan haram, maka ia didiamkan syara’. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang dianggap pada dirinya jijik dan kotor. Tetapi jangan pula kita menjadi pelik jika ada orang yang memakannya di negara lain.

Hukum makan telur penyu, tuntung dan telur buaya dan menggunakan organ dalaman binatang buas untuk membuat ubat

Buaya - menurut pandangan yang sahih bahawa adalah haram memakannya, kerana ia juga tinggal didarat dan mempunyai taring, walaupun ia menghabiskan masa yang lama di dalam air, akan tetapi sebab yang awal tadi mendahului hukum (binatang darat yang bertaring). Ensiklopedia Fiqh Kuwait mengatakan bahawa buaya diharamkan oleh Mazhab Syafie dan Hanbali:

وللاستخباث في التمساح ; ولأنه يتقوى بنابه ويأكل الناس
“Kerana kotornya buaya dan sesungguhnya ia kuat pada taringnya dan buaya memakan orang”.

Maka, telur buaya juga haram dimakan.

Penyu - Binatang yang memang tinggal di laut dan juga yang tinggal di darat, tiada khilaf dikalangan ulama’. Akan tetapi, binatang yang hidup dua alam, wujudnya khilaf dikalangan ulama’, ternasuklah penyu. Berkata Dr Abdullah Faqih :-

أجاز العلماء أكل السلحفاة لعموم قوله تعالى : (كلوا مما في الأرض حلالاً طيباً ) وقوله أيضا (وقد فصل لكم ما حرم عليكم ) وقالوا عن تذكية السلحفاة: ما يعيش في البر يذكي بلا خلاف في ذلك ، وما يعيش في البر والبحر ككلب الماء والسلحفاة فاختلفوا فيه بين من قال بالتذكية، ومن لم يقل بها ، والأولى التذكية خروجا من الخلاف
“Ulama; membenarkan memakan penyu atas umum perintah Allah S.W.T. :- (Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik 2:16 dan juga firmannya (padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu 6:119) dan mereka bercakap mengenai cadangan memakan penyu: apa yang hidup di darat, tidak ada perselisihan mengenainya, dan apa di bumi dan laut seperti anjing air dan penyu didapati khilaf dikalangan mereka, mereka yang mencadang berkata: sesiapa yang tidak mempercayainya, dicadangkan mula-mula sekali keluar dari perselisihan”

Ibn Qudamah rh. di dalam al-Mughni mengatakan bahawa penyu boleh dimakan sekiranya disembelih. Katanya :

كل ما يعيش في البر من دواب البحر , لا يحل بغير ذكاة , كطير الماء , والسلحفاة , وكلب الماء , إلا ما لا دم فيه , كالسرطان , فإنه يباح بغير ذكاة
“Semua yang hidup didarat dari kalangan binatang laut, tidak halal tanpa disembelih, sebagaimana burung laut, penyu, anjing laut, melainkan ia tidak berdarah seperti ketam dihalalkan tanpa sembelih”

Dikalangan ulama’ yang berpegang kepada pandangan ini membenarkan memakan telur penyu.

Mengenai berubat dengan menggunakan barangan haram, disini terdapat pandangan Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi, di dalam bab (ضرورة الدواء) darurat kerana berubat, didalam buku halal dan haram (ms 49-50) (terjemahan Ustaz Zainys, al-ahkam). Darurat kerana berubat ialah, kesembuhan suatu penyakit bergantung kepada makanan yang diharamkan. Mengenai hal ini, para fuqaha (ahli fiqh) telah berselisih pendapat mengenainya. Sebahagian mereka tidak menganggap berubat dalam keadaan ini sebagai darurat yang memaksa sebagaimana dalam masalah makan. Pendapat ini bersandarkan kepada Hadith:

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhanmu dengan sesuatu yang Dia haramkan atas kamu.”
—Hadith Riwayat Bukhari)

Sebahagian ahli fiqh pula mengatakan bahawa ia dapat digolongkan di dalam keadaan darurat. Mereka menganggap masalah memakan ubat sama seperti masalah makan (boleh makan yang diharamkan ketika darurat). Dalil golongan yang membolehkan memakan yang haram kerana berubat ialah, Muhammad pernah memberi rukhsah (keringanan) memakai sutera kepada Abdul Rahman bin Auf dan al-Zubair bin al-Awam. Ini disebabkan penyakit yang menimpa mereka berdua, sedangkan pemakaian sutera adalah dilarang dan pemakainya diancam.

Barangkali inilah pendapat yang lebih hampir kepada roh Islam yang bersifat sentiasa melindungi kehidupan manusia. Sifat ini boleh kita perolehi di dalam setiap pensyariatan dan pesan-pesannya.

Namun, rukhsah (keringanan) memakan ubat yang mengandungi bahan yang diharamkan ada beberapa syaratnya, iaitu:

  • Dapat benar-benar membahayakan kesihatan jika tidak memakan ubat berkenaan.
  • Tidak terdapat ubat lain yang halal sebagai penggantinya.
  • Hal ini disahkan oleh doktor yang dapat dipercayai dari sudut kepakaran ilmu perubatannya dan agamanya.

Tidak ada darurat dari konteks perubatan yang sampai ke peringkat terpaksa memakan sesuatu yang diharamkan sebagai ubat. Cuma, hanya menetapkan prinsipnya sahaja sebagai langkah berjaga-jaga (ihthiati) kepada orang Islam yang kadangkala berada di suatu situasi di mana tidak ada apa-apa melainkan yang diharamkan sahaja.